Bismillah,
Review
buku ITBM, Kumpulan Cerpen.
(Melawan
Yang Mustahil)
Ini
antara buku ITBM terawal yang saya mula baca. Saya suka membaca waktu
lapang. Kadang ada buku berat yang perlu saya habiskan perlahan-lahan
untuk faham. Berhenti dan cari waktu yang sesuai untuk khatam. Waktu
berhenti tu la selalunya saya akan ambil bacaan santai lain dan juga
jadikan peneman di bawa ke mana-mana. Tidak berat, tidak besar dan tidak
tebal. Buku koleksi cerita pendek dan novel ITBM antara yang jadi
pilihan. Saya pilih buku-buku ITBM juga kerana pengisian di dalamnya
bersifat informasi dan memberi manfaat.
Kumpulan
cerpen bertajuk ‘Melawan Yang Mustahil’ yang juga 'Pemenang Pertama Cerpen 2013' karya Ruhaini Matdarin mengandungi 10 koleksi cerpen. Karya penulis yang berasal dari Kota
Kinabalu, Sabah ini membuka mata saya untuk memilih dan memiliki
lebih banyak kolesksi cerita pendek ITBM terutama karya-karyanya. Penulis juga pernah memenangi beberapa anugerah antaranya tempat kedua 'Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008' kategori novel menerusi buku Jendela dan 'Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011' menerusi buku Waris Pejuang. Daripada 10 cerita pendek yang termuat saya ambil tiga untuk di buat review.
(Pencari
Kotak)
1-
Cerpen ini menceritakan watak seorang lelaki tua pencari kotak yang
menjumpai wang ketika mencari kotak dan mengalami dilema sama ada
menyerahkan wang tersebut kepada pihak berkuasa atau diambil sahaja.
Namun, apabila terkenangkan pesanan arwah isterinya “Allah sentiasa
menyaksikan segalanya” beliau mengambil keputusan menyerahkan wang
tersebut. Masa terus berjalan dan kehidupan susah yang pernah dialami
lelaki tua semakin baik serta anak-anak yang sudah bekerja mampu
menambung hidup namun lelaki tua tetap dengan kebiasaan masa
silamnya. Mencari kotak, kerana beliau berasa puas dengan hasil titik
peluh sendiri dan kerana di situ mengingatkan beliau kepada arwah
isterinya. Maruah dengan bisikan syaitan waktu diduga memang susah
nak dibeza. Benteng agama memainkan peranan penting untuk seseorang membuat keputusan. Dalam cerpen ni Pn. Ruhaini Matdarin
memilih agama dan maruah, meninggalkan kesan baik dan pengajaran kepada
pembaca.
(Mantan
Jaguh Pecut dan Tukang Kasut)
2-
Cerpen kedua saya memilih cerita berlatar belakangkan sukan atau
larian. Kesempitan hidup membuat dua watak utama saling membantu.
Seorang menunjukkan jalan dan sokongan dan seorang lagi berusaha
menjadikan cita-cita suatu kenyataan. Mantan jaguh pecut kembali
bersemangat menyertai larian setelah di dorong tukang kasut. Mantan
jaguh pecut bukan sekadar memburu impian tetapi melihat impian
sebagai satu peluang. Peluang memperbaiki taraf hidup keluarganya
yang dihimpit susah. Peluang yang datang digunakan sebaiknya. Mantan
pelari pecut berusaha dan berjaya di pusingan kelayakan. Berjaya
membawa kebahagian kepada keluarganya. Mantan pelari pecut berjaya
menggunakan sekali 'peluang' untuk mengubah peluang depan yang
berkali-kali. Matlamat untuk menggembirakan orang menjadikan diri
kita manusia yang tamak. Tamak yang berguna. Penulis sampaikan kepada
pembaca bahawa kesempitan hidup buat seseorang menjadi kuat dan
berani melawan kesukaran.
(Melawan
Yang Tak Mustahil)
3-
Melawan yang tak mustahil mengisahkan pertemuan tidak sengaja seorang
wanita melayu dan seorang jejaka siam di dalam pesawat. Ada
kesefahaman pada pertemuan pertama yang mengikat kedua-duanya untuk
lebih saling mengenali. Namun atas perbezaan bangsa dan agama ia
menerbitkan keraguan pada hubungan yang bakal dicipta. Tapi tiada apa
yang mustahil bila berani mencuba. Mencuba memberi peluang walau
negara berlainan, walau bangsa tidak sama dan walau agama berbeza. Persiapan rapi bersedia lapang dada memahami dan menghormati adat turut memberi harapan. Penulis mengakhiri cerita ini dengan menggantungkan penutup dengan berserah kepada masa.
Lebih
kepada review seorang pembaca saya kira. Saya suka semua
cerita pendek dalam ‘Melawan Yang Mustahil’ karya Pn. Ruhaini.
Kisah kehidupan di sekeliling kita diolah menjadi cerita di mana
awalnya kita nampak perkara tu macam biasa realitinya yang mengalami
kadang lebih menghargai dan memahami erti kehidupan. Mengupas tentang
harta, kuasa, kemajuan, bangsa dan agama. Membaca setiap cerita, di
akhirnya mesti buat saya terdiam berfikir, insaf dan sedar.
Alhamdulillah saya dapat manfaat dari pembacaan ni. Tujuan Puan
menyampaikan pengajaran melalui tulisan buat saya terkesan dan saya rasa pembaca yang lain juga.
05052017@Kajang