Selasa, 11 April 2023

BISMILLAH SEKALI LAGI

Kerjaku kini sebagai penulis/pembuat kandungan atau content creator. Alhamdulillah. Allah mendengar dan memakbulkan. Semoga segala penulisan kembali membawaku kepada Tuhan, Allah SWT.

Khamis, 11 Oktober 2018

Tazkirah pagi dari suami


Bismillah..

Selepas solat subuh. Pesanan ringkas dan berharga dari suami “yang..abang ada dengar ceramah seorang ustaz ni. Dia cakap Nabi Muhammad saw suka dengan kemiskinan. Tapi ramai yang salah faham maksud kemiskinan tu. Lagi-lagi ada beberapa ustaz/penceramah sebut perkara ni dalam kuliah dan depa tak jelaskan dengan terperinci maksud kemiskinan tu. Jadi ada sesetengah dari yang mendengar akan salah faham dan menganggap kemiskinan itu suatu kebiasaan dan tak perlu berusaha kuat untuk mengubah keadaan.

Ustaz jelas lagi, contohnya Nabi saw dapat hadiah atau ganjaran, baginda terus sedekahkan semua ganjaran tersebut kepada orang yang memerlukan. Dari mana ganjaran yang Nabi perolehi ni? Nah..ini lah sebenarnya. Nabi saw seorang yang berusaha bersungguh-sungguh dalam berbuat sesuatu. Waktu menyebarkan Islam..waktu berperang, baginda tawakal, memasang strategi terbaik, memilih pasukan yang terbaik dan baginda sendiri turun padang menggadaikan nyawa. Dan baginda akan memperolehi ganjaran selepas tu.  Tapi baginda tak ambil, baginda tak ada harta bukan sebab miskin yang, tapi baginda pemurah dan zuhud.

Yang..setiap dari kita makhluk, Allah dah tentukan rezeki masing-masing. Setiap orang ada rezekinya sendiri. Yang bezanya banyak dan sikit. Yang banyak tu sebab dia berusaha bersungguh-sungguh. Usaha lebih daripada orang lain. Kita macam tu juga, kena usaha sungguh-sungguh insyaAllah, Allah dah janjikan rezeki kita. Bila kita dapat banyak, bukan untuk diri kita ja, kita dapat bantu orang lain, dapat memberi macam Nabi Muhammad saw. Kita nak senang, bukan sebab kita ja, tapi untuk orang lain jugakan yang?”

Alhamdulillah. Sebenarnya sejak mengandung ni, lepas subuh bila saya nak baca Quran tu mata rasa berat sangat nak buka. Mengantuk dah macam apa..heee. Boleh dikatakan setiap hari. Zakwan dah cuba buat macam-macam, tulis doa, asma husna dan tampal dalam bilik buat amalan agar mata segar bila nak baca Quran. Tazkirah ringkas ni juga salah satu pendekatan yang diambil untuk bagi saya beralih tumpuan. Diselang seli dengan bacaan Quran. Hehe..terima kasih abang J.

Perbetulkan sekecil mana kesilapan @ sebarkan sekecil mana kebaikan. Dengan izin Allah kebaikan itu akan berpanjangan.

Selasa, 18 September 2018

Nikmatnya Sakit Bersalin - Isyah Radhiah Idris




Bismillah.

Alhamdulillah. Perkongsian yang sangat membantu. Baca buku ni waktu kandungan baru sebulan dan sekarang dah tak lama. Insya-Allah. Tiga kali khatam dalam masa ni (sekarang pun masih selak-selak untuk jadikan panduan).

Rasanya majoriti dalam kalangan yang nak dapat cahaya mata sulung mesti ada rasa gementar nak hadapi saat-saat bersalin. Apatah lagi bila dengar cerita yang macam-macam versi dari saudara atau kenalan. Terutamanya takut untuk bersalin normal. Jadi pelbagai sumber, cerita, tip-tip dicari untuk memudahkan proses bila sampai masanya nanti. 

Saya cadangkan kawan-kawan untuk baca buku ni. Perkongsian positif di dalamnya seperti bagi kekuatan kepada saya nak hadapi 'saat getir paling bahagia'. Terutamanya bersalin secara normal. Penulis menceritakan hari-hari ketika mengandung, sampai waktu tanda nak bersalin, saat mendebarkan nak bersalin hingga bayi selamat dilahirkan. Penulis yang melahirkan sembilan (9) orang anak secara normal ini memberi tip di setiap situasi. Selain itu penulis juga berkongsi kelebihan bersalin normal dan tip-tip penjagaan lain selepas bersalin. Doa-doa amalan seperti dari sebelum mengandung, semasa mengandung, sewaktu akan bersalin, selepas selamat bersalin dan semasa menyusui anak turut ada dikongsikan.

Bagus dibaca oleh suami dan isteri untuk sama-sama buat persediaan menyambut cahaya mata. (suami saya siap buat nota dia sendiri..hehe). Insya-Allah sama-sama mendapat maanfat.

Moga anak dalam kandungan dan saya mudah dan selamat bila sampai masanya nanti. Amin.

p/s; Mak saya lahirkan 11 orang anak secara normal dan ramai juga yang lahir di rumah..hehe. Cuma belum buat buku ja..kihkih..

Jumaat, 5 Januari 2018

Pulang

Bimillahirahmirahim..

Jumaat datang dan berlalu lagi. Satu ungkapan wajib yang patut disebut 'alhamdulillah'..'alhamdulillah'..'alhamdulillah'...

Jumaat kali ni. Bersyukur masih dapat hirup udara, masih ada atas muka bumi bersama yang tersayang dan yang paling penting dapat mengisi masa setiap saat dengan berkualiti. InsyaAllah. 

Dah berapa lama tak aktif. Dah pelbagai cerita terjadi. Nak usaha mulakan balik! 



Isnin, 12 Jun 2017

Kahwin

Bismillah,

Assalamualaikum.

Saya dah kahwin !! okey, dah awat@kenapa? Ha.Ha. Tak da, Saja nak habaq!

#alhamdulillah.

Khalifah tanggungjawabnya menjaga amanat Allah swt. Termasuk dalam perkahwinan. Berusaha membina rumah tangga dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar. Ikut sunnah Nabi, buat yang disukai Ilahi.

#insyaAllah

Peringatan untuk diri, Ramadhan 1438.  


Jumaat, 5 Mei 2017

Melawan Yang Mustahil-Ruhaini Matdarin


Bismillah,

Review buku ITBM, Kumpulan Cerpen.

(Melawan Yang Mustahil)

Ini antara buku ITBM terawal yang saya mula baca. Saya suka membaca waktu lapang. Kadang ada buku berat yang perlu saya habiskan perlahan-lahan untuk faham. Berhenti dan cari waktu yang sesuai untuk khatam. Waktu berhenti tu la selalunya saya akan ambil bacaan santai lain dan juga jadikan peneman di bawa ke mana-mana. Tidak berat, tidak besar dan tidak tebal. Buku koleksi cerita pendek dan novel ITBM antara yang jadi pilihan. Saya pilih buku-buku ITBM juga kerana pengisian di dalamnya bersifat informasi dan memberi manfaat.

Kumpulan cerpen bertajuk ‘Melawan Yang Mustahil’ yang juga 'Pemenang Pertama Cerpen 2013' karya Ruhaini Matdarin mengandungi 10 koleksi cerpen. Karya penulis yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini membuka mata saya untuk memilih dan memiliki lebih banyak kolesksi cerita pendek ITBM terutama karya-karyanya. Penulis juga pernah memenangi beberapa anugerah antaranya tempat kedua 'Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008' kategori novel menerusi buku Jendela dan 'Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011' menerusi buku Waris Pejuang.  Daripada 10 cerita pendek yang termuat saya ambil tiga untuk di buat review.

(Pencari Kotak)

1- Cerpen ini menceritakan watak seorang lelaki tua pencari kotak yang menjumpai wang ketika mencari kotak dan mengalami dilema sama ada menyerahkan wang tersebut kepada pihak berkuasa atau diambil sahaja. Namun, apabila terkenangkan pesanan arwah isterinya “Allah sentiasa menyaksikan segalanya” beliau mengambil keputusan menyerahkan wang tersebut. Masa terus berjalan dan kehidupan susah yang pernah dialami lelaki tua semakin baik serta anak-anak yang sudah bekerja mampu menambung hidup namun lelaki tua tetap dengan kebiasaan masa silamnya. Mencari kotak, kerana beliau berasa puas dengan hasil titik peluh sendiri dan kerana di situ mengingatkan beliau kepada arwah isterinya. Maruah dengan bisikan syaitan waktu diduga memang susah nak dibeza. Benteng agama memainkan peranan penting untuk seseorang membuat keputusan. Dalam cerpen ni Pn. Ruhaini Matdarin memilih agama dan maruah, meninggalkan kesan baik dan pengajaran kepada pembaca.

(Mantan Jaguh Pecut dan Tukang Kasut)

2- Cerpen kedua saya memilih cerita berlatar belakangkan sukan atau larian. Kesempitan hidup membuat dua watak utama saling membantu. Seorang menunjukkan jalan dan sokongan dan seorang lagi berusaha menjadikan cita-cita suatu kenyataan. Mantan jaguh pecut kembali bersemangat menyertai larian setelah di dorong tukang kasut. Mantan jaguh pecut bukan sekadar memburu impian tetapi melihat impian sebagai satu peluang. Peluang memperbaiki taraf hidup keluarganya yang dihimpit susah. Peluang yang datang digunakan sebaiknya. Mantan pelari pecut berusaha dan berjaya di pusingan kelayakan. Berjaya membawa kebahagian kepada keluarganya. Mantan pelari pecut berjaya menggunakan sekali 'peluang' untuk mengubah peluang depan yang berkali-kali. Matlamat untuk menggembirakan orang menjadikan diri kita manusia yang tamak. Tamak yang berguna. Penulis sampaikan kepada pembaca bahawa kesempitan hidup buat seseorang menjadi kuat dan berani melawan kesukaran.

(Melawan Yang Tak Mustahil)

3- Melawan yang tak mustahil mengisahkan pertemuan tidak sengaja seorang wanita melayu dan seorang jejaka siam di dalam pesawat. Ada kesefahaman pada pertemuan pertama yang mengikat kedua-duanya untuk lebih saling mengenali. Namun atas perbezaan bangsa dan agama ia menerbitkan keraguan pada hubungan yang bakal dicipta. Tapi tiada apa yang mustahil bila berani mencuba. Mencuba memberi peluang walau negara berlainan, walau bangsa tidak sama dan walau agama berbeza. Persiapan rapi bersedia lapang dada memahami dan menghormati adat turut memberi harapan. Penulis mengakhiri cerita ini dengan menggantungkan penutup dengan berserah kepada masa.     

Lebih kepada review seorang pembaca saya kira. Saya suka semua cerita pendek dalam ‘Melawan Yang Mustahil’ karya Pn. Ruhaini. Kisah kehidupan di sekeliling kita diolah menjadi cerita di mana awalnya kita nampak perkara tu macam biasa realitinya yang mengalami kadang lebih menghargai dan memahami erti kehidupan. Mengupas tentang harta, kuasa, kemajuan, bangsa dan agama. Membaca setiap cerita, di akhirnya mesti buat saya terdiam berfikir, insaf dan sedar. Alhamdulillah saya dapat manfaat dari pembacaan ni. Tujuan Puan menyampaikan pengajaran melalui tulisan buat saya terkesan dan saya rasa pembaca yang lain juga.

05052017@Kajang

Jumaat, 2 Disember 2016

ILHAM UNTUK PELUPA

Bismillahirahmanirrahim,

Assalamualaikum.

Apa yang pelupanya?

"Dan jangan sekali-kali kamu menyatakan terhadap sesuatu: "sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi!

Kecuali (dengan menyebut): 'insyaAllah'. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: 'mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk yang lebih baik dekat kepada kebenaranNya daripada ini'."                     

                                                                                        (Al-Kahf :23&24)

Saya la pelupa tu!

Penyakit lupa ni makin menjadi bila makin dewasa. Eh..saya tak makan kepala ikan k! Saya kena remain tulis dalam buku atau smartphone apa yang kena buat. Kalau handphone, walet tertinggal mana-mana tu macam dah biasa. Baru-baru ni sampai satu tahap saya terlupa satu benda yang sangat penting dan saya kena terima akibatnya. Ermm..ini tak yah cerita la ya. Haha.

Alhamdulillah, pagi ni sempat baca surah Kahf, sampai terjemahan ayat 23 dan 24 rasa macam lain ja, macam dapat jawapan daripada Allah. Ulang dan ulang. Betul la cakap alim ulama, bila rasa runsing buka Al-Quran, kita akan temui jawapan. Subahanallah. InsyaAllah mulai sekarang boleh amalkan doa dalam ayat 24 surah Kahf ni. Ayat ini sebenarnya nak mengingatkan kita betapa pentingnya ucapan 'insyaAllah', betapa pentingnya kebergantungan kita hampa kepada Pencipta sebelum melakukan sesuatu perkara. 

Minggu lepas berhenti tunggu lampu nak hijau dekat salah satu lampu isyarat di jitra. Sambil dengar radio dan tengah hayati, terkejut tiba-tiba ada seorang pak cik beruniform rela berhenti sebelah kereta. Tangan tunjuk -tunjuk saya sambil cakap sesuatu. Saya yang tak faham terus turunkan cermin kereta dan tanya, "ya cik ada apa-apa ka dekat kereta saya?" ... "Tak da..tu tali pinggang lupa nak pakai ka." ... Muka malu, sambil pakai perasan orang keliling tengah tengok. "Owh..okey2.." ... "Jangan marah pak cik ya, nak peringat ja. Sekarang kalau kena saman mahal tu" ... "Eh..dak, terima kasih pak cik ingatkan". Sampai hari ni ingat muka pak cik rela yang manis berhelmet merah gigi atas dua batang tak ada. Hehe.

Yang ni tak lupa sebenarnya, tapi habit 'sengaja'. Saya rasa pak cik tak betul-betul risaukan saya, sebab kalau betul-betul dia risau mest dia pesan dekat saya "Jangan marah pak cik ya, nak peringat ja. Bahaya kalau jadi apa-apa tu."..huhu    

Ilham-ilham dari Allah ni kadang mungkin tak sampai waktu kita bermimpi atau turun dekat diri sendiri tapi boleh jadi melalui orang-orang keliling.

**Menurut riwayat, beberapa orang Quraisy bertanya Nabi Muhammad saw tentang roh, kisah ashabul-Kahfi dan Zulqarnain, lalu baginda menjawab "Datanglah esok pagi agar aku ceritakan." Dan baginda tidak ucapkan insyaAllah (jika Allah mengkehendaki). Ternyata keesokannya wahyu tentang hal tersebut tidak datang. Sehingga nabi saw tidak dapat menjawab pertanyaan tersebut. Maka turunlah ayat 23-24 di atas sebagai pelajaran kepada Nabi Muhammad saw apabila lupa mengucapkan insyaAllah.

Alhamdulillah, ada juga buah tangan tahun 2016.
**Penjelasan ayat.