Jumaat, 5 Mei 2017

Melawan Yang Mustahil-Ruhaini Matdarin


Bismillah,

Review buku ITBM, Kumpulan Cerpen.

(Melawan Yang Mustahil)

Ini antara buku ITBM terawal yang saya mula baca. Saya suka membaca waktu lapang. Kadang ada buku berat yang perlu saya habiskan perlahan-lahan untuk faham. Berhenti dan cari waktu yang sesuai untuk khatam. Waktu berhenti tu la selalunya saya akan ambil bacaan santai lain dan juga jadikan peneman di bawa ke mana-mana. Tidak berat, tidak besar dan tidak tebal. Buku koleksi cerita pendek dan novel ITBM antara yang jadi pilihan. Saya pilih buku-buku ITBM juga kerana pengisian di dalamnya bersifat informasi dan memberi manfaat.

Kumpulan cerpen bertajuk ‘Melawan Yang Mustahil’ yang juga 'Pemenang Pertama Cerpen 2013' karya Ruhaini Matdarin mengandungi 10 koleksi cerpen. Karya penulis yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini membuka mata saya untuk memilih dan memiliki lebih banyak kolesksi cerita pendek ITBM terutama karya-karyanya. Penulis juga pernah memenangi beberapa anugerah antaranya tempat kedua 'Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008' kategori novel menerusi buku Jendela dan 'Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011' menerusi buku Waris Pejuang.  Daripada 10 cerita pendek yang termuat saya ambil tiga untuk di buat review.

(Pencari Kotak)

1- Cerpen ini menceritakan watak seorang lelaki tua pencari kotak yang menjumpai wang ketika mencari kotak dan mengalami dilema sama ada menyerahkan wang tersebut kepada pihak berkuasa atau diambil sahaja. Namun, apabila terkenangkan pesanan arwah isterinya “Allah sentiasa menyaksikan segalanya” beliau mengambil keputusan menyerahkan wang tersebut. Masa terus berjalan dan kehidupan susah yang pernah dialami lelaki tua semakin baik serta anak-anak yang sudah bekerja mampu menambung hidup namun lelaki tua tetap dengan kebiasaan masa silamnya. Mencari kotak, kerana beliau berasa puas dengan hasil titik peluh sendiri dan kerana di situ mengingatkan beliau kepada arwah isterinya. Maruah dengan bisikan syaitan waktu diduga memang susah nak dibeza. Benteng agama memainkan peranan penting untuk seseorang membuat keputusan. Dalam cerpen ni Pn. Ruhaini Matdarin memilih agama dan maruah, meninggalkan kesan baik dan pengajaran kepada pembaca.

(Mantan Jaguh Pecut dan Tukang Kasut)

2- Cerpen kedua saya memilih cerita berlatar belakangkan sukan atau larian. Kesempitan hidup membuat dua watak utama saling membantu. Seorang menunjukkan jalan dan sokongan dan seorang lagi berusaha menjadikan cita-cita suatu kenyataan. Mantan jaguh pecut kembali bersemangat menyertai larian setelah di dorong tukang kasut. Mantan jaguh pecut bukan sekadar memburu impian tetapi melihat impian sebagai satu peluang. Peluang memperbaiki taraf hidup keluarganya yang dihimpit susah. Peluang yang datang digunakan sebaiknya. Mantan pelari pecut berusaha dan berjaya di pusingan kelayakan. Berjaya membawa kebahagian kepada keluarganya. Mantan pelari pecut berjaya menggunakan sekali 'peluang' untuk mengubah peluang depan yang berkali-kali. Matlamat untuk menggembirakan orang menjadikan diri kita manusia yang tamak. Tamak yang berguna. Penulis sampaikan kepada pembaca bahawa kesempitan hidup buat seseorang menjadi kuat dan berani melawan kesukaran.

(Melawan Yang Tak Mustahil)

3- Melawan yang tak mustahil mengisahkan pertemuan tidak sengaja seorang wanita melayu dan seorang jejaka siam di dalam pesawat. Ada kesefahaman pada pertemuan pertama yang mengikat kedua-duanya untuk lebih saling mengenali. Namun atas perbezaan bangsa dan agama ia menerbitkan keraguan pada hubungan yang bakal dicipta. Tapi tiada apa yang mustahil bila berani mencuba. Mencuba memberi peluang walau negara berlainan, walau bangsa tidak sama dan walau agama berbeza. Persiapan rapi bersedia lapang dada memahami dan menghormati adat turut memberi harapan. Penulis mengakhiri cerita ini dengan menggantungkan penutup dengan berserah kepada masa.     

Lebih kepada review seorang pembaca saya kira. Saya suka semua cerita pendek dalam ‘Melawan Yang Mustahil’ karya Pn. Ruhaini. Kisah kehidupan di sekeliling kita diolah menjadi cerita di mana awalnya kita nampak perkara tu macam biasa realitinya yang mengalami kadang lebih menghargai dan memahami erti kehidupan. Mengupas tentang harta, kuasa, kemajuan, bangsa dan agama. Membaca setiap cerita, di akhirnya mesti buat saya terdiam berfikir, insaf dan sedar. Alhamdulillah saya dapat manfaat dari pembacaan ni. Tujuan Puan menyampaikan pengajaran melalui tulisan buat saya terkesan dan saya rasa pembaca yang lain juga.

05052017@Kajang