Selasa, 17 Jun 2014

Pintu Syurga

Bismillahirrahmanirrahim

07.00pm@080614
Di Jeti langkawi menunggu giliran menaiki bot. Cuti sekolah (keadaan jeti kuah yang meriah dipenuhi manusia masing-masing terbayangkan rumah). Pintu A dan pintu B keduanya tertutup dengan anggota manusia juga troli dipenuhi barang-barang kiri kanan berbaris panjang ke belakang.

Dan dari depan terdengar "Tiket RK110 ke Kuala Kedah pukul 6.00 ikut pintu A"... ''hermm..bukan bot kita..yang pukul enam tadi baru nak naik" "belum lagi ni.." keluhan beberapa orang yang dah tak sabar nak masuk. Tiba-tiba "Tiket KDM332 ke Kuala Perlis pukul 7.00 boleh masuk ikut pintu B" "ha..bot kita, ikut pintu B.. cepat..cepat.." "dah boleh masuk..jom..jom.." gelak tawa nada gembira berebut-rebut pakat nak masuk. Termasuk aku sekeluarga.

(^_^) aku terfikir ini baru pintu masuk  bot, bayangkan pintu masuk syurga..dipanggil malaikat-malaikat "polan binti polan silakan masuk ikut pintu ini"...subahanallah..indahnya!!

SAAT PALING NIKMAT BAGI PENGHUNI SYURGA...

Selesai para penghuni syurga menikmati jamuan kali pertama bersama-sama di dalam suasana yang paling berbeza dan menakjubkan lalu mereka dipakaikan pula dengan pakaian yang serba indah yang dihadiahkan oleh Allah. Para penghuni syurga makin terpesona dengan kejadian ajaib yang ditunjukkan oleh Allah sebagai janji akan kesenangan dan kebahagian yang bakal dinikmati oleh manusia yang beriman. Bau-bauan haruman yang dihantar Malaikat Jibril, burung ajaib yang terlalu cantik terbang sambil mengembangkan sayapnya dan memercikkan haruman semerbak merenjis pada tubuh serta pakaian setiap ahli syurga, pemandangan yang indah dan menakjubkan.

Seketika terdengarlah suatu suara paling ganjil dan menakjubkan, suara kalimah dari Allah s.w.t "Apakah lagi permintaan kamu kepada Aku wahai hamba-hambaku. Mintalah akan Aku memenuhi kehendak kamu semua." berkumandang disetiap penjuru taman syurga. Terperanjatlah sekelian penghuni syurga. Mendengar kalimah suara Allah merupakan suatu nikmat yang paling beharga dan mulia yang bakal dikecap oleh manusia beriman dan beramal soleh kelak. Ia lebih beharga dari segala-galanya berbanding yang pernah dirasai oleh manusia di muka bumi. 

Setelah itu seluruh manusia yang memenuhi ruang taman syurga itu berkata "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya telah Engkau sempurnakan janjiMu tentang kenikmatan yang Engkau anugerahkan kepada hamba-hambaMu yang bersyukur akan setiap nikmatMu didunia. Namun wahai Tuhan kami, izinkanlah kami melihat wajahMu dihari ahirat yang Engkau janjikan ini." Tetapi dapatkah manusia mendapat nikmat melihat wajah Allah? Inilah suatu kejadian yang akan dinikmati sendiri oleh orang-orang mukmin yang beriman yang mempercayai perkara ghaib.

Kemudian secara tiba-tiba muncul sebuah mimbar yang ajaib lagi indah. Malaikat Jibril mara ditengah manusia yang ramai sambil membimbing tangan Nabi Musa a.s naik ke atas mimbar untuk membacakan kitab Taurat. Begitu seterusnya Malaikat Jibril mempersilakan Nabi Isa a.s membacakan kitab Injil, beliau membacakan dengan lembut dan jelas. Berganti dengan Nabi Daud a.s memperdengarkan bacaan kitab Zabur untuk dihayati seluruh penghuni syurga dan akhir sekali Nabi Muhammad s.a.w memperdengarkan bacaan kitab suci Al-Quran dengan suara yang paling merdu dan tidak pernah didengar oleh sesiapa sebelum ini.

Habis pembacaan kitab-kitab suci berkenaan maka tiba-tiba terangkatlah suatu hijab (halangan) dilangit syurga. Apabila terbuka hijab itu maka keluarlah angin yang lembut bersama sejenis bauan yang sangat harum. Belum habis sekelian manusia takjub dan terpegun meihat keajaiban yang tak terfikir akal, sekali lagi terbuka suatu hijab yang lebih besar iaitu hijab yang menghalang setiap makhluk dari melihat wajah Allah s.w.t. Di sinilah saat paling nikmat dan berharga kepada setiap penghuni syurga kerana di sini tempat pertemuan manusia dengan Tuhannya. Allah memberi salam kepada sekelian manusia dan seluruhnya menyambut semula salam Allah dengan rasa nikmat dan syukur tidak terhingga.

Selepas itu berkatalah seluruh manusia kepada Allah Maha Pencipta, Maha Berkuasa, Maha Pengasih, "Wahai Tuhan kami, izinkanlah kami sujud kepadaMu hari ini." Allah membalas permintaan itu dengan kalimahNya, "Wahai hamb-hambaKu, hari ini bukanlah merupakan hari untuk kamu semuanya rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi merupakan pembalasan nikmat untuk kamu semua. Sesungguhnya wahai hambaKu, syurga bukan lagi tempat untuk kamu beribadat, tetapi tempat mulia untuk kamu merasai pembalasan nikmat dan kesenangan yang berkekalan. Walaupun begitu Aku izinkan kamu sujud sekali kepadaKu pada hari ini."

            (Himpunan cerita wanita dan lelaki dalam Al-Quran dan Hadis.Pustaka Jaya 1992)

Nikmat ini tak akan dapat dirasai oleh hamba yang kufur dan kafir. Allah bukan sahaja benci melihat mereka malah Allah akan menghalang pendengaran mereka dari mendengar suara kalimahNya, apatah lagi nak tengok wajah Allah!! Astangfirullah. Subahanallah, alhamdulillah..semuanya kerana Allah dapat saya berkongsi. Jom berusaha..moga kita salah seorang dalam kalangan ahli syurga..amin.





                   Langkawi, hadirkan diri, kenduri si adik lelaki, 06,07&08 Jun 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan