Selasa, 7 Julai 2015

Empat pertemuan

Pertemuan pertama.
Kali pertama jumpa. Di bulan Ramadhan. Muka bersihnya nampak berseri-seri. Sihat. Ramah menyambut tanya aku itu ini. Seminggu lamanya aku kat rumah mak cik. Saat yang menyenangkan. Berkenalan juga dengan pak cik shahidan, kak tie, kak da dan anak-anak, izzat, a.jo, k.ina dan anak-anak. Memang meriah. Seminggu aku habiskan dengan jalan-jalan sekitar taiping, bantu mak cik buat kerja-kerja rumah yang anak dara selalu buat, pergi bazar ramadan, sembang-sembang dengan semua, korek rahsia sana sini. Terkenang. Masa tu kak tie dan teh pun belum kahwin. Memang banyak masa sama-sama. Ingat lagi masa tu mak cik dengan pak cik pegang tender catering untuk sebuah sekolah. Dan sediakan makanan untuk  pelajar RMT salah satunya. Sebab bulan puasa, makanan kena packing. Waktu awal pagi aku, teh dan kak tie  tolong mak cik packing roti dan air kotak nak di hantar ke sekolah. Mak cik pandai masak, jadi mak cik memang hati-hati bila nak beli kat pasar ramadan. Aku nak makan ayam goreng, mak cik cakap tak payah beli nanti kita goreng sendiri. Ayam depa tak elok! Aku teringin jus tembikai, mak cik cakap beli tembikai kita buat sendiri. Depa buat letak air gula banyak! Tersenyum. Cukup seminggu aku minta diri nak balik. Tapi mak cik cakap tinggal lagi, tolong buat kuih raya pula. Sudah rasanya asyik menyusahkan. Macam nak balik bandar, buah tangan petai mak cik bagi buat buah tangan. Aku balik dilepaskan dengan peluk cium mak cik dan pesanan “Madhi nanti datang lagi!” Nanti Madhi kirimkan kad raya.


Pertemuan kedua.
Pertemuan yang singkat. Aku dengan ahli keluarga singgah terima jemputan makan tengahari kat rumah mak cik. Macam biasa mak cik sambut dengan ramah. Kali ni berkenalan dengan mak dan abah pula. Keadaan pun sikit berbeza sebab aku rasa dekat dengan rumah ni, dah rasa macam balik rumah sendiri. Mak cik, teh dan izzat masak macam-macam. Mak cik dengan badan yang sihat mengarah teh dengan izzat itu ini. Alhamdulillah. Sedap belaka. Habis makan sebelum teruskan perjalanan mak cik dan pak cik sembang banyak dengan abah dan mak. Aku sendiri asyik dok merapu dengan teh. Sampai masa jumpa lagi. Terima kasih daun keladi.


Pertemuan ketiga.
Kalau dipertemuan pertama aku excited tolong kak tie buat hantaran untuk majlis perkahwinan dia, kali ni sekali lagi. Tapi untuk si teman. Teh. Hantaran, berinai, mengemas dan lagi-lagi. Mak cik yang sentiasa sibuk kelang kabut memastikan semuanya baik-baik. Masa aku sampai.. “ha..Madhi dah sampai. Tengokkan teh. Buat la apa-apa yang patut”. Teringat. Tiga hari aku kat sana. Tolong apa-apa yang patut. Lagi, diminta jadi pengapit. Amboi, pengalaman satu hari. Hari perkahwinan, majlis berjalan lancar. Dari bersiapnya, di atas pelamin, ke meja makan pula hingga sampai sesi bergambar aku perhati mak cik dan pak cik sentiasa tersenyum sambut tetamu. Bersyukur barangkali. Malamnya selesai majlis semua pakat duduk bersembang santai. Melepaskan letih. Sambil santai menghabiskan sisa makanan kenduri. Seperti rumah-rumah kenduri yang lain, macam susasana rumah aku sendiri. Tersenyum. Esoknya sekali lagi ucapan ‘jumpa lagi’ diucapkan. Mak cik bagi penuh barang buat buah tangan tak lupa “datang lagi Madhi...ajak mak abah mari”.


Pertemuan keempat @ terakhir
Lama sangat tak ke Batu Kurau rasanya. Akhir masa teh kahwin sampai anak sulung dah nak masuk setahun. Komitmen. Mak cik dengan pak cik ditemani kak tie akan ke Mekah mengerjakan haji. Seminggu sebelum depa bertolak aku bertekad mesti p! Imbas, Teh bagitahu mak cik hidap kanser usus. Khabar mak cik aku dengar dari masa ke semasa melalui Teh ja. Tak dapat jenguk sendiri. Kali terakhir aku sembang sebelum datang Batu Kurau Teh cakap keadaan mak cik makin teruk. Dah sampai tahap empat. Kimoterapi, keluar masuk wad. Tapi depa rahsiakan keadaan tu daripada mak cik, doktor pun diminta cerita yang baik-baik. Nak mak cik bersemangat.

Aku sendiri sebenarnya bukan seorang yang kuat, sebelum sampai Batu Kurau aku dok cerita kat Teh “harap aku tak nangis jumpa mak hang nanti.” Takut sedih tengok keadaan mak cik. Tapi lain yang jadi. Sampai ja tengok muka mak cik (walau nampak cengkung) yang ramah tanya khabar aku dulu, terus tersenyum. Tiga hari dua malam kat sana aku pastikan setiap saat aku gunakan sebaiknya untuk bersembang dengan mak cik. Sempat juga aku masuk bilik mak cik urut kaki dia sama-sama dengan izzat dan syuk. Sembang macam adik-beradik. Gaduh gelak. Chek barang-barang yang nak dibawa. Sebelumnya aku dah sediakan ole-ole untuk semua, untuk mak cik aku hadiahkan seutas gelang. Ingat lagi, mak cik suka sangat masa tu. Tersenyum lebar dia. “Mahal dak ni Madhi, mu beli kat mana? Terima kasih. Mak cik suka ni.”(gelang biasa ja). Dialog lain yang buat aku sedih “Mu doakan mak cik Madhi, bagi dapat buat haji dengan sempurna. Kuat dekat sana. Tak tahu bila lagi nak pergi”. Ya Madhi doakan. Dan aku juga sebenarnya ada permintaan, sambil berlawak “Mak cik doakan juga Madhi cepat jumpa jodoh.” Tergelak. Walau permintaan dalam keadaan berlawak, mak cik ambil serius. Terus minta aku tulis atas kertas. Subahanallah. Jujur, sebenarnya hati aku masa tu selalu kata ‘ini pertemuan terakhir’. Tapi aku abaikan.

Hari-hari berikutnya aku dapat berita mak cik, pak cik dan kak tie selamat buat haji dan selamat balik Malaysia. Teh cerita mak cik sihat ja masa kat sana. Alhamdulillah.

Diam seketika. Aku rasa semuanya dalam keadaan baik.

Namun hari-hari berikutnya aku dapat berita duka. Mak cik dah kembali ke pangkuan-Nya. Hari yang aku ingat mak cik dah sembuh kuat macam biasa. Dan bermakna tak ada lagi pertemuan dengannya. Memang betul kata hati tempoh hari. Madhi doakan mak cik Zaiton bt Awang Long ditempatkan bersama orang-orang beriman. Moga Allah cucuri rahmat keatasnya, al-fatihah. Buat semua ahli keluarga Pak Cik Shahidan, mungkin tiada lagi pertemuan di dunia. Moga kita jumpa mak cik di sana. Insya Allah.

#alhamdulillahperbanyakanibadah. Bulan Ramadhan ni satu persatu memori lama timbul. Nak berkongsi. Moga dapat menghiburkan yang membaca (Pak cik Shahidan, A. Jo, Teh, Kak Da, Kak Tie, Syuk, Izzat). 19Ramadhan1436.


3 ulasan: